Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Segala puja dan puji dipersembahkan kepada Allah,
tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam buat rasul
junjungan, ahli keluarga dan para sahabatnya yang di kasihi.
Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti
mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan
mereka[1426], dan kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal
mereka. tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (At
Thur- 21)
Di sini adalah Manaqib bagi ad-Daa’I IlaLLAH, as-Syekhul Kabir, al-Qutub
al-Habib as-Syed Jamaluddin al-Akbar al-Husaini atau yang lebih
masyhur namanya di Nusantara ini dengan nama Syed Hussin Jumadil Kubra
atau Jamaluddin Agung atau Sunan Agung. Manaqib ini telah diambil data
dan maklumatnya dari beberapa kitab ahli sirah dan nasab yang masyhur.
Sesungguhnya telah berlaku banyak ikhtilaf dikalangan para sejarawan
tentang beberapa hal yang berkaitan Syed Jamuluddin Hussin al-Akbar ini.
Hal ini adalah kerana, kehadiran beliau itu pada abad yang ke 13
masihi, yang sewaktu itu nasab belum tercatit pada dustur yang teratur.
Walau bagaimanapun kami telah mengambil jalan yang aslam serta
meninggalkan ikhtilaf yang gharib dari perbahasan sejarawan itu dan
mencatitkan apa yang semampu kami sahaja pada manaqib Ulama dan Mujahid
yang berjasa ini.
Nasab beliau ialah Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar @ Syed Jamaluddin
al-Hussin @ Syed Hussin Jumadil Kubra Bin Ahmad Jalaluddin Syah @ Ahmad
Syah Jalal Bin Abdullah Amir Azamat Khan @ Abdullah al-Amir @ Abdullah
Azamat Khan @ Abdullah Khan Bin al-Muhajir Ilal Hindi Abdul Malik Bin
Alwi Aamul Faqih Bin Muhammad Sahibul Mirbath Bin Ali Khali’ Qassam Bin
Alwi Bin Muhammad Bin Alwi Bin Ubaidillah Bin Ahmad al-Muhajir Bin Isa
as-Syakir Bin Muhammad Bin Ali Uraidhi Bin Jaafar Shodiq Bin Muhammad
al-Baqir Bin Ali Zainul Abidin Bin Syaidina Hussin Syahid Karbala Sibtu
Fatimah Az Zahra’ al-Batul Bin Syaidul Mursalin Muhammad Khatamun
Nabiyyin.
Terhadap tarikh kelahiran beliau ini terdapat banyak perselisihan
diantara para pengkaji sejarah dan ahli nasab. Tetapi mengikut Syekh
Waliyuddin Khan ( Tarikh Aghrariah: 1923), beliau dilahirkan pada tahun
1336 di Kota Agra India. Beliau dilahirkan bersama limpahan harta dan
kemewahan kerana Ayahanda beliau, Syed Ahmad Jalaluddin Syah adalah
Gabenor Agra di bawah pemerintahan Kesultanan Mughal yang berpusat di
New Delhi pada masa itu. Walaupun kehidupan beliau dilimpahi kemewahan
dunia, tetapi hal itu tidaklah melalaikan beliau dari istiqamah pada
landasan Aslaf beliau yang terdahulu. Dari umur belasan tahun, beliau
banyak mengembara ke pelusuk India khasnya di Syaharanfur, Karachi dan
Nizamuddin untuk mendalami ilmu khususnya dalam bidang Hadith dan
Tasauf. Beliau juga sering mendapat ru’yah bertemu dengan Syaidul
Makhluq dan di anugerahkan ALLAH ilmu laduni
[1].
Sewaktu beliau berumur 25 tahun, beliau di tunjukkan untuk menjadi
gabenor di Haidrabad. Beliau dengan sedaya- upaya berusha untuk menolak
jawatan tersebut dan akhirnya terpaksa beliau terima dengan berat dan
kecewa
[2].
Sewaktu beliau menjadi gabenor Haidrabat itulah, beliau telah
menerapkan Prinsip Islam dalam pemerintahan beliau dan mencontohi para
Khalifah ar-Rasyidun. Hasil dari itulah, dalam masa beberapa tahun
sahaja, Haidrabad telah termasyhur sebagai pusat perdagangan. Sewaktu
beliau menjawat jawatan gabenor ini juga, telah beberapa kali beliau di
amanahkan untuk menjadi panglima perang dalam menentang pemberontakan
dari Kerajaan Hindu India
[3].
Ketika umur beliau 30 tahun, beliau telah melaksanakan Ibadah Haji di
Makkah dan melangsungkan ziarah ke Madinah. Sewaktu beliau berziarah
Datuk beliau di Madinah inilah, beliau telah bertemu dengan Baginda
secara sedar ( Yakazoh) dan di tunjukkan supaya meninggalkan jawatan
yang beliau duduki sekarang dan dianjurkan supaya membawa dakwah ke
timur. Hal ini adalah bertepatan dengan satu sabda Baginda RasulaLLAH
SAW dalam satu hadith yang masyhur:
Dari Abi Masu'd r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Akan datang pada akhir zaman pembawa-pembawa panji hitam dari timur.
[4]
Lalu sewaktu pulang dari haji dan ziarah itu, beliau tidak langsung
pulang ke Hadrabad, tetapi ke Mughal untuk berziarah kakek beliau Syed
Abdullah Amir Azamat Khan. Semasa berada di Mughal inilah, beliau telah
bertemu dengan beberapa orang saudara sepupu beliau dan mereka telah
diajak untuk bersama-sama melaksanakan dakwah ke timur. Semasa
berbincang tentang hala tuju mereka ke timur ini, mereka telah
bersepakat untuk menjadikan Kepulauan Nusantara ini sebagai daerah dan
lembangan dakwah mereka.
Setelah persetujuan di ikat, berangkatlah beliau ke Nusantara ini
bersama 6 saudaranya yang lain. Perjalanan mereka ini telah di kenali
sebagai “ Wali Tujuh Dengan Perancangan Islam Di Timur”.
[5]
Semasa dalam pelayaran ke Nusantara ini, mereka telah di uji oleh Sang
Yang Maha Mencipta dengan beberapa ujian yang berat dan hal itu tidak
mematahkan hasrat mereka.
Setelah tiba di Nusantara ini, mereka telah berpecah untuk mendirikan
lembangan dakwah kepada beberapa kepulauan dan Syed Jamaluddin Hussin
al-Akbar bersama beberapa saudaranya telah memilih daerah dakwahnya yang
pertama di Empayar Langkasuka iaitu yang meliputi Champa (Indo China/
Kemboja sekarang) sehingga ke Kepulauan Mindanao di Filipina, manakala
ibukotanya pula adalah Tanah Serendah Sekebun Bunga (Kelantan Tua).
Semasa berdakwah di sini, beliau tidak sahaja mendekati para rakyat dan
marhain, tetapi turut berdakwah kepada golongan pembesar dan istana.
Berhasil dari sinilah, beliau telah diminta oleh Raja Sang Tawal (Sultan
Baqi Syah/ Sultan Baqiuddin Syah), Sultan yang memerintah Tanah
Serendah Sekebun Bunga pada masa itu untuk tinggal di istana dan menjadi
penasihat Sultan.
Semasa beliau berdakwah dan menjadi Penasihat Sultan di Kerajaan
Langkasuka, beliau telah dikahwinkan dengan dua orang puteri dari Tanah
Serendah Sekebun Bunga iaitu Puteri Linang Cahaya yang merupakan Putri
Raja Sang Tawal dan Puteri Selindung Bulan (Putri Saadong II) serta
seorang Putri Diraja Champa yang bernama Putri Ramawati dan seorang
Putri Diraja Johor. Puteri Ramawati (Champa) isteri kedua beliau dan
Putri Selindung bulan (Kelantan Tua) isteri ketiga ini adalah saudara
sebapa yang dikahwini oleh beliau setelah kematian isterinya yang kedua.
Dari perkahwinan dengan Putri Diraja Kelantan Tua ini beliau mendapat
dua orang putra yang bernama Abdul Malik (Gerisik) dan Ali Nurul Alam
(Fathoni) serta seorang putri yang bernama Putri Siti Aisyah (Putri
Ratna Kesuma)
[6]
. Dari perkahwinan beliau dengan Putri Ramawati yang merupakan Putri
Sultan Zainol Abidin Syah (Che Bong Nga), beliau mendapat seorang putra
yang bernama Ibrahim Zainol Akbar
[7] (Ibrahim Asmaro @ Ibrahim As Samarqandi)
[8].
Adapun perkahwinan beliau dengan Putri Diraja Johor telah memberikan
dua orang putra, iaitu Syarif Muhammad Kebungsuan(Mindanao Filipina) dan
Sultan Berkat(Zainol Alam Barakat).
[9]
Dari keturunan beliaulah lahirnya para pejuang dan pendakwah di seluruh
pelusuk Nusantara kita ini. Contohnya, dari Abdul Malik, lahirnya para
Wali Sembilan (Wali Songo) di Indonesia dan dari Ali Nurul Alam,
lahirnya para pemerintah, ulama dan pendakwah di Fathoni. Di setiap
tempat dan negeri yang mereka kunjungi, mereka langsung membaur dengan
rakyat setempat dan menggunakan nama dan gelaran yang dipakai oleh
masyarakat secara umum.
[10]
Mereka mengorbankan gelaran Syed, Syarif dan Habib demi melihat
bersatunya jiwa masyarakat dalam dakwah Islami. Dari hal itulah, mereka
kini lebih dikenali sebagai Tengku, Tuan, Nik dan Wan. Mereka membaur
bersama masyarakat dengan keluhuran akhlak dan kehidupan bersahaja serta
ketaatan pada agama seperti yang diwarisi dari leluhur mereka telah
memikat hati masyarakat peribumi sehingga Islam tersebar dalam masa yang
reletif singkat.
[11]
Dari hasil dakwah beliau bersama saudaranya beserta perancangan yang
berhikmah, Islam tersebar dengan meluas sehingga Empayar Langkasuka
lebih dikenali sebagai Empayar Chermin Jeddah, manakala ibu negerinya
(Tanah Serendah Sekebun Bunga/ Kelantan Tua) dikenali sebagai Negeri
Serambi Mekah. Ini jelas pada masa itu, yang mana penyebaran ilmu agama
amat pesat serta terbinanya Madrasah Diniah ( pondok pasenteren )
bagaikan cendawan selepas hujan serta mereka yang datang belajar agama
di sini disamakan tarafnya dengan mereka yang belajar agama di Mekah
[12].
Perkembangan Islam di bawah pimpinan beliau tidak terhenti setakat itu
sahaja, bahkan beliau berjaya melatih para kader dakwah dan
menghantarnya ke seluruh pelusuk Asia Nusantara ini.
Dikalangan keturunan beliau yang masyhur sebagai pendakwah diantaranya
dari keturunan Ibrahim Zain al-Akbar (Champa) ialah Maulana Ishak,
Muhammad Ainul Yakin (Sunan Giri), Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel),
Ibrahim (Sunan Bonang), Hasyim (Sunan Derajat), Jaafar Shadiq(Sunan
Kudus) . Manakala dari keturunan Ali Nurul Alam (Fatoni) lahirnya Wan
Hussin (Tok Masjid Telok Manok/ Tok Syed Quran), Wan Abdullah (Wan Bo/
Tok Raja Wali), Wan Demali, Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan
Wan Demali (Temenggung Laut). Dari keturunan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja
Wali) inilah yang telah melahirkan keturunan Abd Malik @ Muluk (Tok Ku
Hitam/ Pakcu Keling).
Setelah beberapa lama beliau melaksanakan jihad dan dakwahnya di utara
Nusantara maka beliaupun belayar kembali dan memilih kawasan selatan
yang meliputi Kepulauan Jawa pula. Semasa berada di Pulau Jawa inilah,
beliau sempat melihat kejayaan dakwah yang dilaksanakan oleh adakanda
dan cucunda beliau. Setelah beberapa lama berada di Pulau Jawa akhirnya
beliau merantau dan berdakwah ke daerah Bugis(Makasar/ Ujung Padang) di
Sulawesi Selatan. Semasa melaksanakan dakwahnya disini, beliau telah
dipanggil oleh Qadhi Haqiqi Rabbul Jalil menghadapNya. Maka kembalilah
insan yang telah banyak berjasa untuk Agama ALLAH ini dalam keadaan
redha lagi diredhai pada tahun 1415 m dan dimakamkan di hadapan masjid
beliau di Jalan Masjid Tua, Desa Tosora, Kacamatan Manjeuleng, Kabupaten
Wajo, Propensi Sulawesi Selatan. Semoga ALLAH tetap mencurahkan Rahmat
dan berkahNya kepada beliau serta menerima semua hasanah beliau dan
memaafkan segala khilaf beliau juga mengangkat beliau ke darjah yang
selayaknya bersama datuk beliau Syaidul Mursalin Wakhatamun Nabiyyin.
Aduhai para keturunan yang mulia ini. Apakah kita mengerti betapa
menggunungnya tanggungjawab yang terpikul dibahu kita. Betapa leluhur
dan sesepuh kita dahulu telah membina empayar dakwah dan penghambaan ke
Hadirat Rabbul Jalil. Tersebarnya Islam yang tercinta dibumi Nusantara
ini adalah dari keringat, darah dan air mata mereka ini. Apakah cukup
kita pada hari ini berbangga dengan nasab al-akbar atau al-Kubra yang
kita miliki atau dengan galaran bangsawan Syed, Habib, Tengku, Tuan,
Nik, Wan atau Che yang tersemat di pangkal nama kita dan membiarkan apa
yang telah dibina oleh Aslaf kita terdahulu terlekang dek panas, tereput
dek hujan, terkakis dek udara. Apakah tugas dan tanggungjawab ini tidak
akan disoal ke atas kita di Yaumul Hisab nanti. Apakah memadai untuk
kita hari ini berbangga dengan harta, pangkat, gelaran, sijil-sijil
akademik dan gelaran akademik yang kita miliki. Apakah untuk itu moyang
kita dahulu meninggalkan pangkat, darjat, kekayaan dan tanah tumpah
darahnya berlayar ke bumi melayu ini??????????. Tidak
sekali-kali!!!!!!!!!!!!!! Tidak sekali-kali wahai anak cucu Syed
Jamuluddin Hussin al-Akbar @ Syed Hussin Jumadil Kubra. Beliau
meninggalkan segalanya itu adalah demi cinta beliau kepada ALLAH dan
RasulALLAH yang merupakan Datuknya dan Datuk kita.
Sedari dan insafilah duhai ansab Jamuluddin Hussin al-Akbar.
Tanggungjawab adalah amanah dan amanah akan ditanya di akhirat nanti. Di
mana pun kita, pada posisi apa pun kita, dengan seragam apa pun kita,
wadah dan jalan kita adalah satu. Melihat Islam tetap mekar mewangi di
Asia Nusantara, Bumi Melayu kita ini.
[1] )Ad Dahlawi, Syekh Waliyullah :
Fatawa Alhindi
[2] ) Waliyuddin Khan,Syekh:
Tarikh Agrariah-1923. Matbaah Beirut
[3] ) Al Malbari, Nazimul Hakim:
Sirajul Muluk Lil Hindi-1980, Matbaah Darul Hikam Deoband
[4] ) Turmuzi,Al Muhaddith Mahyuddin: Soheh Turmuzi.
[5] ) Haji Ibrahim (IBHAR), Hj Abd Halim Bashah Bin: Wali Songo Dengan Perkembangan Islam Di Nusantara. Pustaka Al Hijaz Malaysia.
[6] ) Ibid
[7] ) Al Haddad, Syed Alawi Bin Tohir:
Al Madkhal Ila Tarikhil Islam Bissyarqil Aqsha.(edisi Indonesia,sejarah perkembangan islam di timur jauh. Alih bahasa Dziya Syahab. Maktab Ad Daimi Jakarta.
[8] ) Al Gadri,Mr Hamid: C Snouck Hurgronje. Politik Belanda Terhadap Islam Dan Keturunan Arab. Sinar Harapan Jakarta 1984.
[9] )Al Khaf, Syed Zain Bin Abdullah: Khidmatul Asyirah
[10] )Al Baqir, Muhammad: Pengantar Thariqah Menuju Kebahagiaan diterjemah dari
Risalah Al Muawanah Wal Muzhaharah Wal Muawazarah Lir Raghibin Minal Mu’minin Fi suluki Ala Tariqah Al Akhirah.Syed Abdullah Bin Alawi Al Haddad.
[11] )Ibid
[12] ) Haji Ibrahim (IBHAR), Hj Abd Halim Bashah Bin: Wali Songo Dengan Perkembngan Islam Di Nusantara. Pustaka Al Hijaz Malaysia.
Sumber@
jamadilkubra@hotmail.com